SK Agama (MIS) Sibu

Home » PROFIL » Sejarah

Sejarah

SEJARAH SEKOLAH

Penubuhan Sekolah Rendah Bantuan Agama (MIS) Sibu yang memulakan sesi persekolahannya yang pertama pada Disember 1991, adalah atas inisiatif Majlis Islam Sarawak dalam usahanya untuk mendidik dan melahirkan bakal-bakal pemimpin Muslim generasi akan datang yang bukan hanya memiliki keilmuan yang tinggi tetapi mempunyai kemantapan aqidah, keteguhan iman, ketakwaan kepada Allah S.W.T. dan juga memiliki daya tahan yang teguh untuk menempuh cabaran mendatang yang semakin hebat.

Pada awal penubuhannya, sebanyak lima puluh orang murid telah dipilih sebagai perintis melalui ujian khas iaitu Ujian Kelayakan Kemasukan Tahun Satu SRB Agama yang dijalankan serentak di semua sekolah agama di seluruh negeri Sarawak. Seramai lima orang guru telah diberi tanggungjawab untuk memulakan sesi pengajaran dan pembelajaran SRB Agama Sibu di bawah pimpinan Allahyarham Sdra Drahman Bin Haji Mos selaku Guru Besar yang pertama hingga             15 Disember 2003. Pada 16 Disember 2003 sekolah ini telah mendapat Guru Besar baru iaitu Puan Yot Sli. Kini SRB Agama (MIS) Sibu telah mempunyai sebanyak 55 orang kakitangan akademik dan bukan akademik. Mulai tahun 1999 SRB Agama (MIS), Sibu telah dikenali dengan nama Sekolah Kebangsaan Agama, Sibu.

SRB Agama (MIS), Sibu pada mulanya menumpang di bangunan Tadika LAKDFS terletak di dalam kawasan Masjid An-Nur, berkongsi premis dan kemudahan bersama-sama dengan sekolah Tadika LAKIS.

Pada tahun kedua penubuhan sekolah ini, dengan kerjasama dan sokongan padu PIBG SRB Agama Sibu di bawah pimpinan YDP pertama iaitu Datuk Haji Wan Hamid Edruce Bin Tuanku Mohammad, telah membuka kelas komputer yang dilengkapi dengan sepuluh buah komputer dan lengkap dengan perisiannya sekali. Ini merupakan langkah awal dalam usaha untuk melahirkan para cendekiawan Muslim yang berteknologi tinggi dan canggih. Pada masa sekarang kelas komputer terpaksa dimahsuhkan kerana semua komputer yang dibekalkan telah rosak dan tidak dapat digunakan. Pada tahun 1996 hingga April 2004 PIBG sekolah ini telah dipimpin oleh saudara Morshidi b. Omar. Mulai April 2004 hingga kini, PIBG sekolah ini dipimpin oleh Saudara Awg. Julaihi b. Awg. Ali Bohan.

Tanggal 14 Syaaban 1416H bersamaan dengan 5 Januari 1996, hari Jumaat, merupakan detik bersejarah SRB Agama (MIS) Sibu kerana mendapat bangunan baru yang terletak di Jalan Teku bertentangan dengan SMK Agama Sibu. Bangunan yang terletak di atas kawasan tapak seluas sepuluh ekar dibina dengan kos 4.2 juta ringgit.

Untuk mencapai matlamat dan misi sekolah, sekolah ini telah dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti Makmal Sains, Bilik Muzik, Bengkel Kemahiran Hidup, Dewan Kuliah, Perpustakaan, Bilik Sumber dan Makmal Bahasa. Pada tahun 2002  surau SK Agama siap dibina dan diberi nama Darul Ar-Rahman, walau bagaimanapun sejak tahun 2007 kemudahan bilik seperti Bilik Muzik, Bengkel Kemahiran Hidup dan Makmal Bahasa telah diguna sebagai bilik kelas kerana kekurangan bilik.

Dalam usaha untuk memantapkan pengajaran dan pembelajaran, guru-guru telah didedahkan dengan pengetahuan komputer dan kebanyakan guru-guru di sekolah ini memiliki komputer peribadi di rumah. Dalam pada itu juga peperiksaan peringkat sekolah disediakan dengan menggunakan komputer dan disimpan di dalam pen drive. Di samping itu ramai dalam kalangan guru di sekolah ini telah melanjutkan pelajaran ke peringkat Universiti malah ketika ini terdapat guru yang mengambil PJJ.

Kini SRB Kebangsaan Agama Sibu mempunyai 24 buah kelas dari Tahun Satu hingga Tahun Enam dengan enrolmen murid sebanyak  533 orang.  Mulai tahun 1998 jumlah pengambilan murid-murid Tahun Satu telah bertambah iaitu sebanyak 60 orang murid (30 orang murid Lelaki dan 30
orang murid perempuan) untuk menunaikan permintaan masyarakat Islam Sibu yang ingin anak
mereka bersekolah di sekolah ini. Pada awal penubuhan sekolah ini hanya menerima 50 orang
pelajar sahaja dalam sesuatu tahun.

Pada Tahun 1999 jumlah pengambilan pelajar Tahun Satu juga telah bertambah.
Pada tahun itu sebanyak 70 orang pelajar  telah layak bersekolah di sekolah ini dan tahun 2000 sebanyak 70 orang pelajar telah ditawarkan untuk bersekolah di sekolah ini. Pada tahun 2002 pengambilan pelajar telah ditambah kepada 140 orang iaitu 70 pelajar lelaki dan 70 pelajar perempuan.

Pada tahun 1997, Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) buat pertama kalinya telah diduduki pelajar-pelajar tahun 6 sekolah ini dan hasilnya pelajar-pelajar sekolah ini telah mencapai keputusan yang cemerlang. Sebanyak 21 orang pelajar sekolah ini telah mendapat 5A. Pada tahun 1998 pula sebanyak 15 orang pelajar mendapat 16 orang mendapat 4A. Bagaimanapun pada tahun 1999 pencapaian UPSR sekolah ini agak merosot dengan 4 orang sahaja yang mendapat 5A. Tetapi pada tahun 2000 pencapaian UPSR sekolah ini telah meningkat semula dengan 12 orang pelajarnya mendapat 5A dan 8 orang mendapat 4A dan 1B. Pada tahun 2001 seramai 3 orang pelajar sekolah ini telah mendapat 5A. Pada tahun 2002 seramai 7 orang pelajar sekolah ini mendapat 5A dan 6 orang mendapat 4A.  Pada tahun 2003 seramai 4 orang pelajar sekolah ini mendapat 5A dan 12 orang mendapat 4A. Tahun 2004, sekolah ini telah memperoleh seramai 16 orang mendapat 5A dan 9 orang mendapat 4A. Pada tahun 2005 seramai 9 orang pelajar mendapat 5A dan 14 orang mendapat 4A. Keputusan ini telah mencapai peningkatan yang mendadak pada tahun 2006 iaitu seramai 22 orang pelajar mendapat 5A dan 8 orang mendapat 4A. Walau bagaimanapun pada tahun 2007 seramai 9 orang mendapat 5A.  Pada tahun 2008 seramai 27 orang pelajar telah mendapat 5A dan 14 orang mendapat 4A.  Pada tahun 2009 seramai 15 orang pelajar telah mendapat 5A dan pada tahun ini seramai 21 orang mendapat 5A.

Manakala untuk Penilaian Tahap Satu (PTS), pada tahun 1996 sebanyak 2 orang pelajar sekolah telah berjaya lulus dengan cemerlang. Pada tahun 1997 bilangan pelajar yang berjaya lulus dengan cemerlang telah meningkat kepada 4 orang dan bilangan pelajar lulus cemerlang ini terus meningkat kepada 8 orang pada tahun 1998. Pada tahun 1999 bilangan pelajar yang mendapat cemerlang dalam PTS ialah sebanyak 6 orang, yang merupakan pencapaian terbaik sekolah aliran Bahasa Melayu di bahagian Sibu. Sementara pada tahun 2000, seramai 6 orang pelajar sekolah ini berjaya  lulus cemerlang dalam PTS. Mulai 2001 Peperiksaan Penilaian Tahap Satu (PTS) ini telah dimansuhkan.

Dalam bidang ko-kurikulum, pencapaian pelajar sekolah ini tidak kurang hebatnya .Sekolah ini telah menyertai pelbagai pertandingan yang dikelolakan oleh Jabatan Pendidikan mahupun jabatan-jabatan  kerajaan yang lain. Alhamdulillah, pelajar sekolah ini  telah berjaya  memperoleh keputusan yang cemerlang.

Semoga pada alaf baru nanti sekolah ini akan terus cemerlang baik dalam kurikulum mahupun dalam ko-kurikulum. Kerjasama antara pihak sekolah dengan para ibu bapa amatlah disanjungi dan hubungan yang erat ini amat penting untuk kita sama-sama membangunkan  martabat bangsa, agama dan negara yang dicintai.

Wassalam.

Maklumat Warga Sekolah Kebangsaan Agama Sibu

Guru Lelaki

21

Guru Perempuan

35

Pembantu Tadbir

3

Pembantu Am Pejabat

1

Pelajar Lelaki

334

Pelajar Perempuan

283

JUMLAH

674


Leave a comment